Rintihan anak-anak Terengganu – Selamatkan penyu kami!

Written by Dr. Chen Pelf Nyok

Dr. Chen is the co-founder of Turtle Conservation Society of Malaysia. She currently heads the community-based River Terrapin Conservation Project in Kemaman, Terengganu, Malaysia.

10 May 2008

Date: 10 May 2008
Source: Utusan Malaysia

SELEPAS dua minggu tidak menulis, Bidai agak tersentak selepas bos Bidai menghulurkan beberapa keping kertas.

Pada mulanya, Bidai ingatkan kena tukar lokasi kerja, berderau jugalah darah seluruh badan, namun selepas dibelek-belek sembilan keping surat tadi, darah Bidai betul-betul berderau.

Bukan terkejut, tetapi syahdu kerana semua surat itu tadi sebenarnya adalah rintihan anak-anak Terengganu berusia 11 hingga 12 tahun yang mewakili tiga sekolah di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan juga di Mangkok, Setiu.

Melihat surat pengenalan daripada Ketua Kem Penyu dan Tuntung 2008, Chen Pelf Nyok, Bidai terus membaca habis dengan teliti surat-surat tadi.

Isinya ringkas, padat namun memberi kesan yang amat mendalam bagi Bidai.

Surat pertama yang ditulis oleh Nur Syafira Mazuki dari Sekolah Kebangsaan Pulau Redang yang mewakili 12 rakan-rakannya menggesa kerajaan untuk mengharamkan terus penjualan telur-telur penyu.

Paling menarik, mereka yang hidup di pulau dan membesar dengan keluarga yang memang semestinya dahulu memakan telur penyu tahu akan kepupusan penyu yang sedang kita hadapi sekarang.

Malah Nur Syafira juga memberikan fakta yang mengatakan daripada 10,000 sarang penyu belimbing yang boleh didapati pada tahun 1950-an, tahun lepas satu sarang pun tidak berjaya dikesan.

Ini bermakna penyu belimbing sudah merajuk atau spesies yang sepatutnya matang selepas 30 tahun untuk naik bertelur mungkin sudah menjadi mangsa dimakan manusia sejak bertahun-tahun lamanya.

Dia juga tahu, ekoran kejadian itu, industri pelancongan akan terjejas dan ini adalah suara anak-anak generasi masa hadapan negara kita yang lebih memahami berbanding mereka yang lebih matang dan menjadi penggubal undang-udang negara.

Dan untuk tidak menghampakan, saya menyampaikan gesaan mereka yang berbunyi: “Oleh itu, saya meminta kerja sama daripada pihak tuan menggesa pihak kerajaan untuk mengharamkan penjualan telur penyu dan tuntung di Malaysia.”

Biar Bidai ulang, mereka menggesa untuk DIHARAMKAN penjualan telur penyu sama sekali dan bagi Bidai lesen-lesen yang dikeluarkan untuk pemajak hanya membolehkan mereka menghantar telur-telur ini kepada pihak berkuasa sahaja dan tidak boleh dijual.

Bagi pelajar Sekolah Kebangsan Pulau Perhentian pula, surat yang ditulis oleh Kumpulan Nemo mewakili 12 pelajar sekolah itu turut meminta kerajaan untuk menguatkuasakan undang- undang memelihara penyu dan tuntung.

Kata mereka, penyu semakin berkurangan dan sikap membuang sampah ke dalam laut menjadi antara punca penyu-penyu mati kerana penyu-penyu itu akan memakan plastik kerana dianggap sebagai makanan.

Malah lebih menarik, mereka juga mahukan supaya bot dipandu lebih berhati-hati supaya tidak terlanggar penyu dan mereka juga mengatakan penyu yang terperangkap di dalam jaring akan mati.

Berubah

Semua yang dinyatakan adalah pemandangan biasa bagi mereka sebelum ini dan dengan adanya Kem Penyu dan Tuntung 2008 yang diadakan oleh Kumpulan Penyelidikan dan Pemuliharaan Penyu dan Tuntung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bidai dapat rasakan minda mereka telah berubah… berubah menerima kenyataan bahawa penyu dan tuntung di negara ini mengalami kepupusan.

Kata mereka: “Kita boleh menolong penyu dengan tidak mencuri telur dan anak penyu. Kita juga tidak boleh menangkap penyu untuk mengambil cengkerangnya. Jangan suluhkan lampu ke arah penyu pada waktu malam dan sentiasa mengingatkan ahli keluarga atau kawan supaya tidak melakukan apa-apa yang membahayakan penyu. Jangan buang sampah dan jaring ke dalam laut.”

Ini bermakna mereka lihat dan tahu apa yang terjadi di sekeliling mereka dan itulah peringatan mereka.

Ingat, kita meminjam alam ini daripada mereka dan kita juga sedang memusnahkannya.

Surat ketiga daripada Kumpulan Penyu Belimbing yang dianggotai sembilan pelajar Sekolah Kebangsaan Mangkok pula melaporkan kepupusan tuntung di kawasan Setiu.

Kata mereka ia sangat terancam ekoran pembuangan sampah-sampah yang menyebabkan sungai jadi kotor.

Pengutipan dan penjualan telur tuntung di Pasar Payang di bandar juga menjadi antara elemen kepupusan tuntung di tempat mereka.

Yang paling menarik, mereka mengatakan tuntung lemas dan mati akibat tersangkut pada jaring rosak dan lama termasuk pukat para nelayan (Ingat lagi tulisan Bidai mengenai jenis pukat ini?).

Dan mereka juga mengatakan pembinaan empangan, aktiviti menyedut pasir serta pembangunan sungai yang tidak terkawal menyebabkan antara kepupusan tuntung berkenaan.

Dan tidak berhenti di situ sahaja, pelajar-pelajar itu turut mengusulkan supaya penduduk Setiu jangan membuang sampah ke dalam sungai.

Penduduk juga dilarang mengambil dan menjual telur tuntung dan dibiarkan menetas secara semula jadi.

Nelayan pula disaran jangan membuang jaring dan pukat rosak ke dalam sungai serta pembinaan dan pembangunan di tepi sungai dikawal.

Bidai pasti, pembaca akan mengatakan mereka telah diarah dan mendapat bimbingan daripada fasilitator kem itu namun, jika dilihat dari segi tulisan dan juga hasil nukilan mereka, ia terbit dari hati seorang insan muda yang mahukan perubahan.

Jadi di sini, menyambung permintaan mereka, Bidai juga turut merayu, menggesa, meminta, mempercepatkan sebarang penggubalan undang-undang yang berkaitan dengan penyu.

Yang pertama, Enakmen Penyu Negeri Terengganu 1951 (pindaan 1987) perlu diubah supaya pengharaman penjualan telur semua spesies penyu dilakukan segera termasuk tidak ada sebarang import dan penjualan telur-telur penyu dari mana-mana negeri atau negara dibenarkan.

Bagi Bidai, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said perlu memainkan peranan dalam hal ini dan ia perlu diusulkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang.

Jika berjaya, ia akan menjadi model pelaksana bagi semua negeri-negeri yang ada di Malaysia mengenai undang-undang berkaitan penyu.

Jadi, adakah rintihan generasi masa depan (Ya, mereka sedang membaca ketika ini) ini dibiarkan sahaja tanpa dilakukan apa-apa tindakan?

Adakah kita mahukan mereka menanti dan terus menanti keputusan yang hampir pasti tidak akan terungkai sehingga menyebabkan mereka akan mula bosan dengan penggubal undang-undang yang sebelum ini mereka sanjungi?

Bagi bos Terengganu yang baru, Tok Mat, Bidai harap ada sesuatu yang menggembirakan akan terhasil pada persidangan DUN kali ini.

Fikirkanlah…

You may also like…
‘Stop consuming turtle eggs’

‘Stop consuming turtle eggs’

While the current peak nesting season is seeing a rise in turtle eggs, conservation groups are urging Malaysians to take a pledge to stop putting turtle eggs on their plates.