News

Mikrocip selamatkan tuntung

Date: 29 October 2011
By: Rosli Ilham
Source: Berita Harian

PROJEK pemuliharaan tuntung di Sungai Kemaman, Terengganu menyaksikan kira-kira 184 anak berusia tiga bulan dilepaskan ke habitat asal bagi tujuan mengembalikan populasinya yang kian pupus. Penduduk Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu merasa bertuah dengan projek anjuran Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu [Malaysia] yang mendapat kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Gajah.

Majlis pelepasan anak tuntung berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Kemaman, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang turut disertai Penuntut Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI) serta penduduk setempat.

Wan Abdul Hakim meminta lebih banyak badan bukan kerajaan dan syarikat swasta mengadakan kerjasama dalam usaha pemuliharaan spesies terancam di negara ini.

“Saya sarankan lebih banyak pihak swasta menaja pemasangan mikrocip kerana ia akan membantu kita mengetahui pergerakan tuntung dan mewujudkan satu pangkalan data saintifik dapat dilakukan.

“Saya berharap kempen seumpama ini dapat sokongan syarikat korporat dan pencinta alam sekitar supaya kempen kesedaran dan menyayangi habitat yang kian diancam kepupusan itu ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK, Mohd. Nor Jusoh, berkata tujuh penduduk di kampung itu secara sukarela akan melaksanakan tugas sebagai pemantau di sepanjang tebing sungai dengan mengumpul telur tuntung yang naik bersarang bagi mengelak ia musnah atau dilarikan binatang buas.

“Mereka ini enggan menerima sebarang upah dan bayaran yang ditawarkan sebaliknya menganggap ia sebagai satu sumbangan bagi memastikan tuntung naik bersarang di kampung ini dengan selamat,” katanya.

Katanya, projek itu wajar diperluaskan ke sungai lain seluruh Terengganu memandangkan projek perintis pemuliharaan tuntung telah dimulakan di Setiu sejak tahun 2004 lagi dan keputusannya amat memberangsangkan.

“Saya bangga dengan penduduk di sini dan berterima kasih kepada mereka kerana mengambil berat dan sepakat menjayakan usaha itu,” katanya.

Pengurus projek, Chen Pelf Nyok berkata, penduduk kampung berkenaan sebelum ini tidak tahu kaedah memulakan projek pemuliharaan sehinggalah satu perbincangan diadakan.

Katanya, program yang dianjurkan itu juga bertujuan memberi kesedaran spesis ini yang semakin jarang ditemui serta bagi memastikan generasi baru akan terus dapat melihat tuntung pada masa depan.

Beliau berkata, semua anak tuntung yang dilepaskan itu terlebih dulu diukur, ditimbang dan dimasukkan mikrocip bagi memberi pengenalan.

“Alat berkenaan memudahkan penyelidikan kerana jika tidak, ia akan terlepas pandang daripada perhatian penyelidik dan pencinta alam,” katanya.

Mengikut pemerhatian penduduk, tuntung akan mendarat untuk bertelur di sekitar tebing sungai berkenaan sekitar Januari hingga Mac setiap tahun.

Musim [ini], penduduk kampung itu berjaya mengutip kira-kira 420 biji telur dan berjaya dieramkan manakala 198 ekor berjaya ditetaskan.

Daripada jumlah yang ditetaskan, separuh daripadanya telah dilepaskan ke dalam sungai manakala selebihnya dipelihara penduduk setempat yang turut melepaskan anak-anak tuntung itu bersama-sama pada majlis itu. Purata berat seekor anak tuntung selepas menetas adalah 118 gram dengan purata panjang 8.7 sentimeter dengan lebar 8.2 sentimeter.

Bagi memastikan projek berjaya, hanya anak tuntung yang mencapai saiz sesuai iaitu kira-kira seberat 468 gram dengan panjang purata 14.2 sentimeter dan 12.2 sentimeter lebar cengkerang dilepaskan ke sungai.

About Dr. Chen Pelf Nyok

Dr. Chen is the co-founder of Turtle Conservation Society of Malaysia. She currently heads the community-based River Terrapin Conservation Project in Kemaman, Terengganu, Malaysia.