Tuntung makin pupus

Written by Dr. Chen Pelf Nyok

Dr. Chen is the co-founder of Turtle Conservation Society of Malaysia. She currently heads the community-based River Terrapin Conservation Project in Kemaman, Terengganu, Malaysia.

15 Sep 2015

Date: 15th September 2015
By: Wan Zulkifli Wan Yaacob
Source: Utusan Online

KEMAMAN 14 Sept. – Tidak sebagaimana penyu yang sering diperkatakan umum, diperbincangkan da­lam seminar termasuk oleh masyarakat antarabangsa bersama usaha pemuliharaan melibatkan penyertaan meluas, tuntung bagaikan terlepas daripada semua perhatian itu.

Haiwan eksotik ini, dalam kumpulan reptilia termasuk penyu, labi-labi dan kura-kura, yang juga lebih gemarkan alam Terengganu, kini berdepan dengan nasib serupa,di habitat yang berbeza, laut dan sungai.

Walaupun dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Hidupan Liar 2010, sikap manusia, proses pembangunan, pencemaran dan perubahan alam termasuk banjir besar menjadi penyumbang yang mengancam masa depannya, malah boleh membawa kepada kepupusan.

Pemuliharaan tuntung di nege­ri ini telah digerakkan oleh para pencinta alam dan hidupan liar sejak 2004, melalui program perintis di sungai Setiu dengan tahun-tahun seterusnya mencatatkan perkembangan awal yang dianggap memberangsangkan.

Mereka turut melakukan di Sungai Kemaman sebagai pelengkap kepada usaha yang turut dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Per­hilitan) termasuk di Sungai Terengganu dan Dungun sekian lama.

Namun kelompok kecil mereka yang berperanan penuh dedikasi melalui Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia telah menamatkan aktiviti di Setiu kini kerana ada ketikanya sepanjang tahun mereka tidak dapat mengutip satu pun telor untuk dieram ditetas dan dilepaskan kemabli ke sungai.

Pengasas bersama persatuan itu, Chen Pelf Nyok, 34, tidak menolak kemungkinan industri ternakan udang di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu telah meningkatkan kemasinan air sehingga menimbulkan fenomena tersebut.

“Tarikan umum terhadap nasib tuntung mungkin tidak sebesar penyu yang dikaitkan dengan negeri ini tetapi spesies itu juga khazanah alam negeri ini yang sukar ditemui di tempat lain,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya kini memberi tumpuan di Sungai Kemaman melalui program pemulihan yang telah digerakkan mulai tahun 2011, namun seperti beberapa sungai utama yang lain di negeri ini, jumlah telur yang berjaya dikumpul dan ditetaskan menurun dengan ketara.

“Jumlah telur yang dikumpul dan ditetaskan tahun ini hanya 335 biji, berbanding 1,468 tiga tahun lalu di Sungai Kemaman, dan ini sangat merisaukan kami.

“Sungai ini belum tercemar namun banjir besar melanda sejak beberapa tahun lalu, mungkin memberi kesan,” ujar beliau yang kini mengikuti pengajian di peringkat kedoktoran dalam bilang zoologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sehubungan itu juga katanya, satu kajian lebih terperinci dijangka akan dijalankan pada tahun depan untuk mengenal pasti punca sebenar dan bagaimana menanganinya termasuk dengan neyusuri pergerakan spesies itu di sungai melalui cip mikro yang dipasang.

Pelf Nyok berkata, selain itu pihaknya berhasrat menarik penglibatan banyak pihak termasuk sektor swasta untuk bersama dalam aktiviti kesedaran masyarakat bagi meningkatkan apresiasi dan kecintaan terhadap warisan alam ini.

Sehubungan itu juga semalam Program Sambutan Hari Kemerdekaan Tuntung diadakan di kampung Pasir Gajah yang perasmiannya disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Melalui program yang disertai lebih 300 pelajar sekolah, penduduk kampung dan sukarelawan, sebanyak 257 ekor tuntung yang berusia empat bulan hingga lima bulan dilepaskan ke sungai.
“Kita adakan program kesedaran terutama dalam lingkaran masyarakat setempat agar telur haiwan ini tidak lagi dijual atau dijadikan bahan makanan. Telur ini semakin menjadi tarikan kerana makin sukar didapati.

“Harganya kini lebih mahal berbanding telur penyu, dijual secara kecilan sekitar RM5 hingga RM6 sebiji. Haiwan ini hanya bertelur sekali setahun, tidak melebihi 40 biji,” ujarnya.

Beliau gembira dan memuji sikap penduduk di Kampung Pasir Gajah turut bersama membentuk “geng tuntung” dalam menjalankan usaha pengumpulan dan penetasan tanpa mengambil kira soal ganjaran.
Mereka turut membantu kerja-kerja penyelidikan dengan menimbang berat dan mengukur saiz tuntung untuk meneliti kadar pembesarannya setiap tahun berpandukan pengenalan yang dipasang pada haiwan yang hanya mencapai tahap matang dan bertelur selepas berusia 20 tahun.

Namun kawasan yang panjang juga membataskan keupayaan untuk pengumpulan dan telur-telur ini terdedah kepada pihak lain selain dimakan oleh haiwan pemangsa.

“Tuntung secara tidak langsung telah memperkenalkan kepada umum tentang kampung Pasir Gajah dan penduduknya yang menghargai usaha pemuliharaan untuk memastikan khazanah alam ini akan terus diwarisi,” ujarnya.

You may also like…
‘Stop consuming turtle eggs’

‘Stop consuming turtle eggs’

While the current peak nesting season is seeing a rise in turtle eggs, conservation groups are urging Malaysians to take a pledge to stop putting turtle eggs on their plates.